Minggu, 24 Agustus 2014

Asmaa bint Abu Bakr



Asmaa bint Abu Bakr
Asmaa binti Abu Bakar berasal daripada sebuah keluarga Islam yang terkenal. Bapanya, Abu Bakar, merupakan sahabat Rasulullah s.a.w. serta merupakan kalifah pertama selepas kewafatan baginda. Saudara tirinya, Aishah, merupakan isteri kepada baginda Rasulullah dan salah seorang kepada Ummahat al-mukminin. Suaminya, Zubair ibnu al-Awwam pula merupakan salah seorang pembantu Rasulullah yang istimewa. Anak lelakinya, Abdullah ibnu az-Zubair terkenal dengan kejujuran dan ketaatannya kepada kebenaran. Asma sendiri merupakan antara orang yang terawal menerima Islam. Hanya tujuh belas orang
perempuan dan lelaki yang memeluk Islam sebelumnya. Asma kemudiannya diberi gelaran Dzat an- Nitaqayn ( orang yang mempunyai dua tali pinggang). Gelaran ini diberi selepas berlakunya suatu peristiwa semasa keberangkatan Rasulullah dan ayahandanya dalam peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah.
Asma merupakan antara orang yang mengetahui rancangan Rasulullah untuk berhijrah ke Madinah. Rahsia penghijrahan Baginda adalah penting kerana kaum musyrikin Quraisy telah membuat rancangan untuk membunuh Baginda. Pada malam pemergian mereka, Asmaa telah yang menyediakan bekalan makanan dan bekas air untuk perjalanan baginda dan Abu Bakar r.a. Oleh kerana beliau tidak menjumpai sebarang tali untuk mengikat bekas-bekas tersebut, Asma menggunakan tali pinggangnya atau dikenali sebagai ‘nitaq’. Saidina Abu Bakar menyarankan agar Asmaa mengoyakkannya kepada dua. Rasulullah memuji perbuatannya itu. Semenjak itu beliau dikenali sebagai “ Orang yang mempunyai dua tali pinggang”.

Sewaktu penghijrahan dari Mekah ke Madinah yang terakhir iaitu selepas penghijrahan Baginda Rasulullah, Asma sedang hamil. Namun begitu, keadaannya itu serta perjalanan jauh yang mencabar tidak menjadi halangan buat Asma untuk meneruskan niat beliau untuk turut sama berhijrah. Sebaik sahaja tiba di Quba iaitu di pinggir kota Madinah, Asma melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Abdullah. Para muslimin melaungkan Allahuakbar (Allah Maha Besar) dan Lailahaillah ( Tiada Tuhan selain Allah) dengan gembira dan rasa bersyurkur kerana inilah anak pertama yang dilahirkan di kalangan muhajirin di Madinah.
Asma terkenal dengan ketajaman akal dan sifatnya yang mulia. Beliau merupakan seorang yang sangat pemurah. Anaknya Abdullah pernah berkata kepadanya, “Aku tidak pernah melihat dua wanita yang lebih pemurah daripada ibu saudara ku, Aisyah dan juga ibuku, Asma. Namun begitu sifat pemurah mereka terserlah dalam cara yang berbeza. Ibu saudaraku akan mengumpul barang-barangnya sehingga beliau berasa bahawa harta tersebut mencukupi lalu dibahagikan kepada mereka yang memerlukannya. Ibuku pula tidak akan menyimpan apa-apa walaupun untuk hari esok.”
Kebijaksanaan Asma terserlah pada waktu-waktu yang genting. Apabila ayahandanya ingin meninggalkan Mekah, beliau membawa bersama beliau semua hartanya yang mencecah sehingga 6000 dirham bersama-samanya dan tidak meninggalkan sebarang harta untuk keluarganya. Apabila bapa Saidina Abu Bakar, Abu Qahafah (yang masih musyrik ) mendengar akan pemergiannya ke Madinah, Abi Qahafah ke rumah Abu Bakar dan berkata kepada Asma:
“Aku faham bahawa ayahmu telah meninggalkan kamu tanpa sebarang harta selepas dia mengabaikan kamu.”
“tidak, datuk,” balas Asma, “sebenarnya dia telah meninggalkan kami begitu banyak harta.” Beliau mengambil sedikit batu-batu kecil dan meletakkan di dalam bekas kecil yang terdapat di dinding, iaitu di tempat biasa mereka menyimpan wang. Beliau menghampar kain di atas bonggol itu dan meletakkan tangan datuknya yang buta itu di atasnya dan berkata,” Lihatlah betapa banyak harta yang ayahanda tinggalkan untuk kami.”

Melalui cara ini, Asma berhasrat menenangkan ketakutan dan kerisauan datuknya dan mengelakkan beliau dari memberi bantuan dari hartanya sendiri. Ini kerana Asma tidak suka menerima pertolongan dari orang musyrikin walaupun dari datuknya sendiri.
Asma mempunyai sikap yang sama terhadap ibundanya Qutaylah dan tidak berkompromi walau sedikitpun terhadap iman dan taqwanya. Ibundanya pernah menziarahi Asma di Madinah. Pada masa itu, dia belum memeluk agama Islam dan telah bercerai dengan ayahnya pada masa sebelum kedatangan Islam. Ibundanya telah membawa hadiah-hadiah dari kismis, mentega dan garaz (bekas dari spesis pokok ‘sant’). Pada mulanya Asma enggan menjemput ibundanya masuk ke dalam rumah atau menerima hadiah-hadiah darinya. Beliau telah menghantar seseorang kepada Aishah untuk bertanyakan kepada Nabi Muhammad s.a.w, tentang sikap beliau yang wajar terhadap ibunya. Baginda membalas bahawa beliau sepatutnya menjemput ibunya ke dalam rumah dan menerima hadiah-hadiah itu. Atas kejadian ini, turunlah wahyu kepada Baginda:
Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Surah al-Mumtahanah 6O: 8-9).

Bagi Asma dan serta Muslimin yang lain, kehidupan di Madinah begitu sukar pada awalnya. Suami beliau berasal daripada keluarga yang miskin dan harta yang dimilikinya pada awalnya hanyalah seekor kuda yang telah dibeli olehnya. Asma sendiri menggambarkan keadaan awal tersebut seperti berikut:
“Aku pernah menyediakan makanan, memberikan air dan membersihkan kuda. Aku akan mengisar gandum dan membuat adunan tetapi aku tidak boleh mebakarnya dengan sempurna. Wanita-wanita Ansarlah yang akan membakarnya untukku. Mereka merupakan orang-orang yang baik. Aku pernah menjunjung gandum di atas kepalaku daripada tanah milik Az-Zubair iaitu tanah yang dipertanggungjawabkan oleh Rasulullah kepadanya agar dibangunkan. Tanah tersebut hanyalah sejauh tiga ‘farsakh’ (lebih kurang lapan kilometer) daripada pusat Bandar. Pada suatu hari aku sedang menjunjung gandum apabila aku bertemu dengan baginda Rasulullah dan sekumpulan sahabat. Baginda memanggilku dan memberhentikan untanya supaya aku boleh menunggang unta tersebut. Aku berasa malu untuk berjalan bersama Baginda dan aku juga mengingati bahawa Az-Zubair berasa cemburu, beliaulah orang lelaki yang paling kuat cemburunya. Apabila Baginda Rasulullah perasan bahawa aku berasa malu, baginda terus berlalu.”
Kemudian Asmaa mengaitkan semula kepada Az-Zubair apa yang telah berlaku dan beliau berkata “ Demi Tuhan, perbuatanmu menjunjung gandum itu lebih menyedihkan aku berbanding kau menunggang unta bersama Rasulullah.”
Asma ialah seorang yang sangat sensitif dan taat. Beliau dan suaminya bekerja keras bersama-sama sehingga keadaan mereka yang miskin beransur-ansur berubah. Namun begitu, kadang-kala Az-Zubair melayannya dengan kasar. Pernah sekali Asma berjumpa dengan ayahandanya dan mengadu kepada ayahnya tentang Az-Zubair. Abu Bakar menjawab dengan berkata “ Anakku bersabarlah kerana sekiranya seorang wanita taat kepada suami yang mulia dan apabila suaminya meninggal dunia dan wanita itu tidak berkahwin dengan orang lain, mereka akan disatukan semula di syurga.”

Lama-kelamaan Az-Zubair menjadi salah seorang yang terkaya namun Asma tidak membenarkan keadaan ini mengubah prinsip-prinsipnya. Anaknya al-Mundhir pernah sekali menghantar pakaian cantik yang diperbuat daripada bahan yang halus dan mahal yang dibeli dari Iraq. Pada waktu itu Asma telah buta. Asma merasai kain tersebut dan berkata “Buruk sungguh kain ini. Pulangkannya semula.”
Al Mundhir berasa kecewa dan berkara, “Ibu, kain ini tidak jarang.”
“Mungkin kain ini tidak jarang tetapi ianya ketat dan akan menunjukkan bentuk tubuh,” jawab Asma.
Al-Mundir telah membeli pakaian yang bersesuaian dengan kehendak Asma. Lalu Asma menerimanya.

Sekiranya peristiwa dan aspek-aspek kisah hidup Asma dapat dilupakan dengan mudah, perjumpaan terakhirnya bersama anaknya, Abdullah, merupakan salah satu peristiwa yang tidak mudah dilupakan dalam sejarah awal umat Islam. Pada perjumppan tersebut, Asma telah memaparkan kebijaksanaan akalnya, kesungguhannya dan kekuatannya dalam kepercayaannya.
Abdullah merupakan khalifah yang bakal memerintah selepas Yazib ibnu Muawiyah meninggal dunia. Penduduk Hijjaz, Mesir, Iraq, Khurasan dan kebanyakan orang Syria menyukainya dan menerimanya sebagai Khalifah. Namun begitu Bani Umaiyah terus mencabar kedudukan Abdullah dan mengumpulkan sepasukan tentera di bawah pimpinan Al-Hajjaj ibnu Yusuf ath-Thaqafi. Perang yang sengit berlaku antara kedua-dua belah pihak di mana Abdullah bin Az-Zubair menunjukkan keberanian dan kepahlawanannya. Namun begitu, kebanyakan pengikutnya tidak dapat bertahan dalam perang yang berpanjangan itu dan beransur-ansur meninggalkan beliau. Akhirnya beliau berlindung in Baitul Haram di Makkah. Pada waktu itulah beliau berjumpa ibunya yang telah buta, lalu berkata,

“Semoga ibu sihat sejahtera dan sentiasa berada di bawah rahmat dan keredhaan Tuhan.” “Semoga engkau juga sihat sejahtera Abdullah,” balas ibunya. “Apakah yang membawa engkau ke sini di waktu ini pada waktu serangan pengikut Hajjaj menyerang tenteramu di Haram dengan bertubi-tubi sehingga menggoncang rumah-rumah di Mekah?”
“Aku datang untuk mendapatkan nasihat daripadamu,” kata Abdullah.
“Untuk mendapatkan nasihatku?” Tanya Asma dengan hairan. “Tentang apa?”
“Orang ramai telah meninggalkanku kerana takutkan Hajjaj atau telah terpengaruh dengan apa yang telah ditawarkan. Malahan anak-anak dan ahli keluragaku telah meninggalkan aku. Hanya ada sebilangan orang bersamaku namun walau dengan kekuatan dan kecekapan mereka, mereka hanya mampu bertahan selama satu atau dua jam sahaja. Penyampai dari Bani Umayyah datang untuk menawarkan apa sahaja jawatan yang aku mahukan jika aku menyerah diri dan berjanji setia kepada Abdul Malik ibn Marwan. Apa pendapatmu?”
Beliau menjawab dengan suara yang lantang: “Ini adalah urusanmu, Abdullah, dan kau lebih mengetahui tentang dirimu. Jika engkau merasakan bahawa engkau di jalan yang benar dan engkau sedang mempertahankan kebenaran, maka teruskanlah dan berjuanglah sepertimana teman-temanmu yang telah syahid berjuang dibawah benderamu dan mereka menunjukkan kecekalan dan keberanian. Tetapi jika engkau mengidamkan dunia, maka celakalah ke atas kau. Engkau telah merosakkan dirimu sendiri dan merosakkan tentera-tentera mu.
“Tetapi aku akan dibunuh hari ini, ini adalah satu kepastian.”
“ Itu adalah lebih baik untuk kamu daripada kamu menyerahkan diri secara sukarela kepada Hajjaj dan boneka-boneka bani Umayyah yang akan bermain-main dengan kepalamu.
“Aku tidak takutkan kematian. Aku hanya takut mereka akan menghinakan aku.”
“Tiada apa selepas kematian yang patut ditakuti oleh manusia. Seperti melapah kulit tidak menyebabkan apa-apa kesakitan kepada kambing yang telah disembelih.”

Muka Abdullah bercahaya lalu beliau berkata: “ Wahai ibuku yang di rahmati! Semoga sifat muliamu di rahmati Tuhan! Aku telah datang kepadamu pada waktu ini untuk mendengar apa yang telah kudengari. Tuhan itu tahu bahawa aku tidak lemah atau berputus asa. Allah menjadi saksi yang aku tidak memperjuangkan kecintaan ku pada dunia ini dan isinya kecuali atas kemarahanku kerana Tuhan. Undang-undang-Nya telah dilanggar. Dan aku di sini, menuju keredhaanmu. Sekiranya aku mati, janganlah bersedih keranaku dan serahkanlah aku kepada Tuhan.
“Aku akan bersedih dengan pemergianmu,” kata Asmaa yang tua tetapi tegas itu, “ hanya jika kau terbunuh atas kezaliman dan usaha yang sia-sia.”
“Yakinlah bahawa anakmu tidak menyokong satu perbuatan yang sia-sia, atau melakukan apa-apa perkara yang dibenci, atau melakukan kezaliman kepada orang Muslim atau Dhimmi dan tidak ada yang lebih baik dalam pandangannya dari keredhaan Tuhan yang Maha Besar dan Maha Kuasa. Aku tidak mengatakan ini untuk membersihkan namaku. Tuhan tahu bahawa apa yang aku katakan ini adalah untuk menyakinkan hatimu.”
“Segala puji bagi Allah yang telah membuatkan engkau bertindak atas apa yang disukai-Nya dan apa yang aku sukai. Hampir kepadaku anakku, agar bisa aku mencium baumu dan memengang tubuhmu kerana ini mungkin pertemuan kita buat kali terakhir.”
“Abdullah melutut di depan ibundanya. Beliau memeluk Abdullah dan mencium kepala, wajah dan lehernya. Tangannya mula memeluk badan Abdullah kemudian menarik tangannya seraya bertanya:
“Apakah yang kau sedang pakai itu, Abdullah?”
“Ini adalah baju besiku.”
“Anakku, ini bukanlah pakaian orang yang menginginkan syahid. Tanggalkanlah ia. Itu akan membuatkan pergerakanmu lebih cepat dan tangkas. Pakailah sirwal (baju dalam yang panjang) ini supaya jika kau terbunuh, awratmu tidak akan terdedah.”

Abdullah menanggalkan baju besinya dan memakai sirwal. Ketika dia meninggalkan ibunya untuk menyertai perang dia berkata: “Wahai ibuku, janganlah kau melupakan aku dalam doamu.”
Sambil mengangkat tangannya ke langit, beliau berdoa: “Oh Tuhan, berikanlah simpatimu kepadanya yang sering berjaga dan menangis didalam kegelapan malammu ketika orang lain sedang tidur.. “Oh Tuhan, berikanlah simpatimu kepadanya kerana dia menahan lapar dan dahaga dalam perjalanannya ke Madinah dan Mekah ketika dia berpuasa… “Oh Tuhan, berikanlah restumu dari kebaikannya kepada ibu bapanya… “Oh Tuhan aku serahkan die ke jalan-Mu and aku bersyukur ke atas apa yang Engkau telah tentukan kepadanya. Dan kerananya kurniakanlah aku balasan orang-orang yang sabar dan istiqamah.”

Ketika matahari terbenam, Abdullah telah meninggal dunia.Sepuluh hari kemudian, ibunya juga meninggal dunia. Asma ketika itu berusia seratus tahun. Usianya yang lanjut tidak pernah melemahkan beliau atau menumpulkan ketajaman mindanya.

Tidak ada komentar: